MASIH ramai rakyat
negara ini tidak tahu cara memakan buah ini kerana bentuknya yang ganjil,
dengan kulit luar berwarna merah dan mempunyai sayap seperti seekor naga
sehingga ia mendapat nama buah naga (dragon fruit).
Jangan ketawa jika
ada orang yang memotong kulitnya seperti memakan buah epal, walaupun cara
sebenar memakan buah naga ialah dengan memotong dua dan menceduk isinya
dengan menggunakan sudu.
Bagaimanapun, di
sebalik rupanya yang ganjil, buah naga daripada keluarga ‘cactacea’ yang
tergolong dalam spesies kaktus dan semakin mendapat tempat di kalangan petani
moden negara ini, sebenarnya kaya dengan khasiat.
Buah naga mempunyai
isi seperti buah kiwi. Pada masa ini, buah naga yang isinya berwarna putih
lebih mudah didapati di pasaran, tetapi mengikut pakar pemakanan dan
perubatan, buah yang isinya berwarna merah mempunyai lebih banyak khasiat.
Secara amnya, pakar
sependapat dan mengakui buah naga kaya dengan potasium, ferum, protein,
serat, sodium dan kalsium yang baik untuk kesihatan berbanding buah-buahan
lain yang diimport.
Mengikut wakil
Johncola Pitaya Food R&D, syarikat penanaman dan penyelidikan buah naga
merah terbesar di negara ini, AL Leong, buah kaktus madu itu cukup kaya
dengan pelbagai zat vitamin dan mineral yang boleh membantu meningkatkan daya
tahan dan mengurangkan metabolisma dalam badan manusia.
“Kajian menunjukkan
buah naga merah ini sangat baik untuk sistem penghadaman dan peredaran darah.
Ia juga memberi tindak balas memberangsangkan untuk mengurangkan tekanan
emosi dan meneutralkan toksik dalam darah.
“Kajian juga
menunjukkan buah ini boleh mencegah kanser usus, selain mencegah kandungan
kolesterol yang tinggi dalam darah dan pada masa sama menurunkan kadar lemak
dalam badan,” katanya.
Secara keseluruhan,
setiap buah naga merah mengandungi protein yang mampu mengurangkan
metabolisma badan dan menjaga kesihatan jantung; serat (mengawal kanser usus,
kencing manis dan diet); karotin (kesihatan mata, menguatkan otak dan
menghalang penyakit); kalsium (menguatkan tulang) dan fosferos (pertumbuhan
tisu badan).
Buah naga juga
mengandungi zat besi untuk menambah darah; vitamin B1 (mengawal kepanasan
badan); vitamin B2 (menambah selera); vitamin B3 (menurunkan kadar
kolesterol) dan vitamin C (menambah kelicinan, kehalusan kulit serta mencegah
jerawat).
Leong berkata, satu
lagi fakta menakjubkan ialah berdasarkan kajian terkini, khasiat buah naga
tidak terhad kepada buahnya, tetapi turut wujud pada keseluruhan pokok.
Katanya, buah naga
juga boleh dijadikan pencuci mulut yang lazat.
“Syarikat kami juga
mengeluarkan produk jus, jem, dan wain merah daripada buah ini. Pada masa
sama, buah yang belum masak boleh dimasak sup dan dicampur dengan daging,
ekor atau tulang,” katanya.
Leong berkata, bunga
buah naga pula boleh digoreng sebagai sayuran, dijadikan ulam dan juga boleh
dikeringkan untuk dijadikan teh bunga.
“Bunga pokok ini
mempunyai kadar debunga yang tinggi kerana tempoh ia mekar penuh terlalu
singkat, sekali gus menyebabkan lebah dan serangga lain tidak sempat
mengambil debunganya secara penuh berbanding bunga lain yang mekar
berbulan-bulan.
“Debunga bunga buah
naga juga mempunyai khasiat tinggi dan cukup baik untuk kesihatan manusia,”
katanya.
Leong berkata, dahan
pokok buah naga juga boleh dijadikan salad, ulam, digoreng dengan sambal
belacan dan dimasak sup, yang terbukti berkesan untuk membuang toksik dalam
badan dan mencuci perut.
“Di Amerika Selatan,
dahan buah naga dihancurkan dan diperam untuk dijadikan makanan ternakan
seperti lembu dan kambing. Ia terbukti mampu meningkatkan kadar susu, selain
kualiti ternakan berkenaan,” katanya.
Leong berkata, pada
masa ini buah naga atau nama saintifiknya ‘Epiphytes’ atau ‘Pitaya’ dan
berasal dari Amerika Selatan digemari kaum Cina yang menggelarnya ‘Paw Wang
Fa Kor’.
“Kita sekarang cuba
mempromosikan buah ini kepada seluruh rakyat Malaysia bukan hanya kerana
rasanya yang enak, tetapi juga sangat berkhasiat. Tidak hairanlah harganya
mahal.
“Bagaimanapun, kita
sekarang cuba menggalakkan lebih ramai orang di negara ini menanam buah naga
dengan menawarkan insentif menarik, termasuk menjual pokok pada harga murah
dan jaminan pembelian semula buah daripada petani,” katanya.
Leong berkata,
kelebihan pokok buah naga ialah ia tahan lasak, termasuk tahan serangan
serangga, berikutan ia spesies pokok kaktus, menyebabkan racun serangga tidak
perlu digunakan ketika penanaman.
“Seperti kita sedia
maklum, bahan makanan yang bebas daripada penggunaan racun serangga adalah
yang terbaik untuk kesihatan,” katanya.
KEBAIKAN
# Tingkat daya tahan
# Kurangkan metabolisma badan
# Baik untuk sistem penghadaman dan peredaran darah
# Kurangkan tekanan emosi
# Neutralkan toksik dalam darah
# Cegah kanser usus
# Cegah kandungan kolesterol tinggi
# Turunkan kadar lemak
|